Sunday 14 August 2011

Penilai dan Menilai

Yang kita mahu begini....
1. Bagusnya.....kerja kamu memang berkualiti, hebat dan menarik.
2. Cantiknya awak ni....tak sangka dah ada anak tiga. Kalah anak dara. Cun melecun tu.....
3. Tak pernah saya jumpa orang macam awak...baik, pandai hormat orang, bijak...uhhhh...pendek
    kata   A+ +  la...untung siapa dapat. 
4. Kerja you memang bagus. Inilah yang saya mahu. Semua you buat ikut prosedur dan siap pada
    masa yang ditetapkan.
5. Pandai masak, lemah lembut, pandai sesuaikan diri...Walaupun awak kerja tapi awak pandai
    bahagikan masa.

Yang orang kata begini....
1. Kerja teruk, macam kerja budak tadika. Nenek aku pun pandai buat kerja ni.
2. Ala...sedar lah sikit. Muka dah lah macam dugong. Perut berlipat tiga. tapi ada hati pakai baju
    ketat...anak pun dah berderet-deret. Aparaaa.....sedar-sedarlah diri. 
3. Ya ampun....perangai macam pelesit. Muka macam tongkang pecah. Sekolah pun  tak pas..Rugi la
    siapa dapat menantu.
4. Macam ni kata kerja bagus...bagus la, bagus membodek. Pasal dia lah kerja-kerja tertangguh, kerja
    tak pernah siap-siap. Berenti je la kerja, melambak lagi orang nak kerja tu...
5. Uiii mak datuk...kuku panjang macam pontianak, macam mana nak masak nasi. Dah lah tu,
    make up tebal mengalahkan opera Cina. Masa kerja asyik melaram aje...wei Minah....apahal lu
    ni...

SUSAH KE JADI PENILAI????
Senang kalau setakat kritik dan komen. Siapa-siapa saja boleh buat. Tak payah ajar kemahiran ni. Tetapi bagaimana mahu jadi penilai yang baik agar kita dapat menilai orang dengan pandangan yang adil, telus dan benar tanpa prejudis. Kalau ikut cara begini memang sukar kerana apa yang kita mahu belum tentu sama dengan apa yang orang lain mahu. Sebab itu, kita selalu lupa jari yang menuding orang hanya satu, sedangkan yang menunjuk ke arah kita ada empat. Maknanya sebelum menilai orang, kita perlu muhasabah diri dahulu.
         Yang kena nilai pula perlu terima pandangan orang dengan hati dan fikiran terbuka. Adakalanya kritikan orang dapat membantu diri kita menjadi lebih maju dan berdaya saing. Kita menjadi lebih kuat, tabah dan berani mengharung segala kritikan dengan semangat yang kental. Jangan jadikan kritikan sebagai titik tolak untuk kita membina dendam. Anggaplah bahawa itu adalah satu cabaran walaupun pahit untuk kita terima. Namanya pun cabaran, pasti sukar untuk melaksanakannya tetapi kalau berjaya atasi rintangan kita akan menjadi insan cemerlang berjiwa perkasa. 


PENILAI SEBENAR
Justeru penilaian selalunya bersifat subjektif. Manusia boleh menilai, mungkin melalui penghasilan atau pendokumentasian sesuatu bahan. Itu bukti nyata walaupun pada hakikatnya, orang yang dinilai itu sahaja yang tahu benar atau tidak, betul atau salah sesuatu perkara itu. Sebabnya kita memang insan lemah. Bergantung kepada orang lain dalam melaksanakan sesuatu kerana sikap saling bergantung ini menjadikan kita kuat, tabah dan rendah diri. Kita belajar menerima pendapat orang lain dan mengamalkan sikap seperti aur dengan tebing, seperti dakwat dengan kertas.
         Yang Maha hebat, Maha Bijaksana hanyalah Allah sebagai penilai. Dia menilai kita dengan penuh kasih sayang tanpa kita sedari. Diberinya rahmat dan keberkatan kepada manusia yang selalu mengingatinya dan diberikannya cabaran kesusahan kepada mana-mana manusia yang dikehendakinya. Maka kita diuji, dicabar dan ditimpa pelbagai dugaan agar Dia dapat menilai kita. Penilaian Allah sentiasa adil dan saksama. Dia Maha mengetahui dan Maha bijaksana.
         Sebagai insan lemah kita memohon agar janganlah kita diberi penilaian yang buruk. Kita meminta kebaikan pada setiap masa agar kita tergolong dalam kalangan manusia yang dicintai dan disayangi baik di sisi Allah mahupun di sisi manusia lain. Mudah-mudahan kita mendapat penilaian terbaik di dunia dan juga di akhirat.   
 




No comments:

Post a Comment