Sunday 14 August 2011

Permainan Bahasa


Permainan Bahasa merupakan aktiviti yang sangat menarik sekiranya dijalankan dengan cara yang betul dan terancang. Semasa P&P aktiviti ini mampu menarik minat murid dan meninggalkan kesan kepada murid. Ini juga dapat membantu murid mengingati perkara yang dipelajari pada hari itu dengan cara yang mudah. 
          Bermain semasa belajar mampu meningkatkan kreativiti pelajar, membina persefahaman dan sikap kerjasama dalam kelas serta meransang kemahiran berfikir secara kreatif dan kritis dalam kalangan murid. Semua pelajar dapat memberi sumbangan yang sama semasa aktiviti berlangsung dengan syarat guru perlu bijak memberi arahan dan mengagihkan tugasa.

PERMAINAN BAHASA
Apabila kita menyebut perkataan ‘permainan’ tentunya perkara yang terbayang dalam fikiran kita adalah aktiviti yang menyeronokkan dan menggembirakan.  Sebagai guru, kita mahu murid bermain dan dalam masa yang sama dapat menguasai kemahiran bahasa.  Pendekatan belajar melalui aktiviti permainan yang disarankan oleh Pusat Perkembangan Kurikulum (2003) ini adalah satu pendekatan terancang dan berstruktur yang memberi peluang kepada murid-murid untuk belajar dalam suasana yang menggembirakan dan bermakna. Siti Hajar (1996:3) menyatakan permainan bahasa merupakan aktiviti yang dirancang dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa.  Oleh itu, aktiviti yang hendak dijalankan perlulah dirancang dengan baik dan teratur agar murid-murid berupaya mengingati isi pelajaran yang mahu disampaikan dalam permainan tersebut.
 Melalui aktiviti permainan bahasa, murid boleh menguasai beberapa kemahiran secara serentak seperti kemahiran mendengar, kemahiran lisan, kemahiran membaca dan kemahiran menulis.  Hal ini membuatkan, pembelajaran berpusatkan murid dapat dilakukan manakala guru dapat bertindak sebagai fasilitator.  Ini dapat membantu murid mendengar dan menerima arahan dengan jelas, tepat dan betul.  Namun demikian, perkara utama di sini adalah pengisian aktiviti dalam permainan bahasa itu.  Guru perlu menyediakan bahan yang sesuai dan berfaedah untuk perkembangan murid agar keupayaan kognitif murid dapat dipertingkatkan.
Hal ini amat penting kerana guru perlu memikirkan jenis permainan bahasa yang sesuai dengan kemahiran yang mahu diajar pada minggu itu atau hari itu.  Aktiviti itu pula perlu diukur setaraf dengan kebolehan murid-murid kita.  Pemilihan aktiviti yang tidak sesuai dengan tahap kebolehan murid akan menjadikan permainan itu hambar, mengecewakan dan menimbulkan rasa bosan.  Objektif guru agar murid menguasai kemahiran bahasa sambil bermain tidak akan kesampaian.  Aktiviti yang dibuat secara tangkap muat sahaja boleh menjejaskan kemahiran yang sepatutnya dikuasai oleh murid menjadikan aktiviti ini sekadar sebuah permainan biasa sahaja, bukan permainan berobjektif.
6.2.1 Faedah Permainan Bahasa
  1. Mencungkil bakat dan kreativiti murid dalam melaksanakan aktiviti yang diberikan.
  2. Memupuk semangat kerjasama dalam kumpulan dan dalam kelas.
  3. Menggalakkan komunikasi yang baik dan berkesan dalam kalangan murid.
  4. Meningkatkan penguasaan kemahiran mendengar, bertutur, membaca dan menulis murid-murid.
  5. Menggalakkan murid berfikir secara kritis dan kreatif.
  6. Melahirkan murid yang  dedikasi dan bertanggung jawab atas tugas yang diberikan.
  7. Membentuk disiplin murid membuat sesuatu kerja dalam had masa yang telah ditetapkan.
  8. Memberi peluang kepada semua murid melaksanakan tugas yang diamanahkan.
  9. Menarik minat murid agar sentiasa gembira semasa belajar dan tidak bersikap pasif semasa proses pengajaran dan pembelajaran berlaku.


6.2.2 Matlamat Permainan Bahasa

  1. Mewujudkan suasana pembelajaran yang santai tanpa memberi tekanan kepada murid-murid.
  2. Melahirkan murid yang kreatif dan inovatif dalam melakukan sesuatu tugasan yang diberi.
  3. Melahirkan murid yang mempunyai sikap kepimpinan dan disiplin yang tinggi dalam melaksanakan tugasan yang dipertanggungjawabkan.
  4. Memupuk semangat kerja berpersatuan dan bantu membantu sekali gus dapat melahirkan semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat. 
  5. Memberi motivasi kepada pelajar agar berani berdaya saing dalam menghadapi kehidupan ini.
6.      Memberi pengalaman sebenar murid dalam mengamalkan sikap kerjasama, sikap mematuhi undang-undang dan peraturan dalam kehidupan melalui permainan.

6.2.3 Objektif

  1. Proses pengajaran dan pembelajaran berlaku dalam suasana yang menyeronokkan.
  2. Murid dapat menguasai kemahiran mendengar, bertutur dan menulis dengan baik.
  3. Mewujudkan kerjasama yang baik di dalam kumpulan.
  4. Menggalakkan penyertaan semua murid dalam setiap aktiviti yang dilaksanakan.
  5. Murid dapat menguasai kemahiran bahasa sambil bermain.

6.2.4 Pelaksanaan Permainan Bahasa
Permainan bahasa akan menjadi aktiviti yang menyeronokkan. Aktiviti ini akan dapat meninggalkan kesan terhadap murid sekiranya kedua-dua pihak iaitu guru dan murid  bersedia untuk melaksanakan aktiviti ini.  Aktiviti permainan bahasa ini hendaklah dijalankan sama ada pada peringkat awal (induksi), pertengahan atau akhir pengajaran (penutup).  Pilihlah masa yang sesuai untuk menjalankan aktiviti ini kerana kita tidak mahu  guru membuat aktiviti permainan sepanjang waktu pelajaran berlangsung.
Guru-guru perlu memikirkan beberapa perkara semasa merancang untuk melaksanakan aktiviti permainan bahasa. Ini penting agar proses pengajaran dan pembelajaran dapat berjalan lancar serta dapat mencapai hasil pembelajaran seperti yang dirancang. Permainan bahasa ini boleh dijalankan secara kelas, kumpulan besar, kumpulan kecil, berpasangan atau secara individu.  Guru boleh menjalankan permainan ini sama ada di dalam kelas atau pun di luar kelas.  Ini bergantung kepada jenis permainan yang telah dipilih. Perkara yang perlu difikirkan semasa menjalankan aktiviti kelas atau kumpulan adalah disiplin murid, keselamatan murid, cara mengawasi kelas dan arahan permainan yang betul.        
Perkara-perkara di bawah ini boleh membantu guru untuk menjalankan aktiviti permainan bahasa di dalam kelas.  
Sebelum Permainan
§  Beritahu murid nama atau tajuk permainan yang akan mereka lakukan
  • Arahan permainan disampaikan terlebih dahulu agar murid tahu aktiviti yang akan dijalankan sama ada secara individu, berpasangan, kumpulan kecil atau secara kelas.  Sekiranya kumpulan kecil atau berpasangan, pastikan setiap ahli kumpulan atau pasangan yang ditetapkan sesuai dari segi fizikal dan persamaan dari sudut tingkah laku. Biasanya dalam sebuah kumpulan ada murid yang pendiam, pasif dan ada yang aktif.
  • Lantik wakil kumpulan untuk menyampaikan pesanan atau arahan permainan. Galakkan murid ikut arahan ketua yang dilantik.
  • Beberapa orang murid diberi tugas seperti pencatat, penjaga masa dan pengadil sekiranya perlu.
Semasa Permainan
§  Guru bertindak sebagai fasilitator dan pemudah cara untuk membimbing murid melicinkan perjalanan permainan.
§  Murid boleh diberi kebebasan bermain dengan pengawasan guru.
§  Pastikan disiplin murid terkawal, mengamalkan sikap kerjasama dan tidak mengganggu aktiviti pengajaran dan pembelajaran murid di kelas bersebelahan.
§  Guru harus sering mengingatkan tugasan yang perlu dilakukan sepanjang permainan berjalan
Selepas Permainan
§  Buat refleksi dan perbincangan dengan murid.
§  Guru perlu memberi pandangan dan penambahbaikan mengenai aktiviti permainan yang telah dijalankan.
§  Guru menyemak tugasan kumpulan, pasangan atau tugasan individu serta membuat pengulangan untuk pengukuhan hasil pelajaran.

Contoh:  Menyebut huruf vokal dengan gerakan muzik
  1. Murid mendengar rakaman lagu ‘Pak Mamat Ada Kebun’ menggunakan komputer riba dan liriknya dipaparkan di papan tulis.
  2. Murid menyanyi beramai-ramai berpandukan lirik yang dipaparkan  dengan iringan muzik dari komputer riba.
Contoh:

Pak Mamat ada kebun, a, e, i, o, u
Di kebunnya banyak haiwan  a, e, i, o, u,

  1. Murid-murid diminta menyebut dan mengulang berkali-kali vokal a, e, i, o, u yang terdapat  dalam lagu.
  2. Setiap kumpulan murid diberikan tugasan untuk mencatat nama haiwan yang bermula dengan vokal a, e, i, o, u.
  3. Wakil murid menyebut nama haiwan tersebut. Contohnya a- ayam, arnab, angsa.

Contoh: Permainan Membina Ayat Tunggal
  1. Murid dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu Kumpulan A dan Kumpulan B (satu kumpulan 6 hingga 8 orang).
  2. Setiap kumpulan murid itu diberi nombor 1 hingga 6.
  3. Murid diminta berbaris mengikut kumpulan masing-masing mengikut susunan nombor yang telah diberi.
  4. Kad perkataan diletakkan di dalam bakul di tengah-tengah antara kedua-dua kumpulan tersebut.
  5. Apabila guru menyebut nombor ahli kumpulan, misalnya nombor 3, murid dari kedua-dua kumpulan tersebut akan berlari ke arah bakul untuk mengambil kad perkataan itu.
  6. Murid yang berjaya terlebih dahulu mengambil kad perkataan itu, akan   menyebut perkataan yang diperolehnya.  Misalnya murid nombor 3 dari kumpulan A yang telah berjaya, dia akan mempamerkan kad perkataan kepada kelas dan menyebutnya, ‘rumah’
  7. Murid nombor 3 dari kumpulan B mesti membina ayat tunggal dengan menggunakan perkataan ‘rumah’.  Sekiranya murid tersebut tidak berjaya membina ayat dalam tempuh yang tertentu, satu markah hanya diberikan kepada kumpulan A sahaja.  Aktiviti ini akan dilakukan berulang kali mengikut nombor yang berlainan.

Contoh: Menyusun Ayat Mudah Mengikut Urutan yang Betul
1.      Murid mendengar penerangan guru mengenai cara bermain dam ular yang ditayangkan melalui komputer riba.  Mereka bermain secara kumpulan (tiga atau empat orang sekumpulan).   Apabila dadu yang dilontar itu menunjukkan angka  dua atau empat, kumpulan murid itu perlu menyusun ayat yang diletakkan oleh guru di dalam sebuah bakul.
2.      Wakil kumpulan akan melontar dadu mengikut giliran kumpulan.  Kumpulan yang  melontar dadu selain dari angka dua dan empat boleh menggerakkan buah damnya pada slaid dam ular.  Mereka tidak perlu menyusun ayat.
3.      Wakil kumpulan yang melontar dadu terkena pada angka dua atau empat perlu menyusun ayat.  Misalnya kumpulan A melontar dadu dan mendapat nombor dua.  Mereka akan menyusun semula ayat seperti;

Syafi payung merah ada    disusun menjadi Syafi ada payung merah.

4.      Sekiranya murid kumpulan itu berjaya menyusun ayat, barulah buah damnya akan digerakkan.  Jika tidak berjaya buah dam tidak boleh digerakkan.

2 comments:

  1. Artikel yang menarik.
    Permainan Bahasa
    http://affendi.brinkster.net/lingo

    ReplyDelete
  2. nak buatlah permainan ni.menarik .kena tunggu PKP tamat dulu. thanks,cikgu

    ReplyDelete